MANJUNG: Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung seorang remaja lelaki warga Indonesia yang merupakan orang kurang upaya (OKU) rentung dalam kebakaran di Kampung Dato' Seri Kamaruddin, di sini, supaya segera melaporkannya kepada polis.

Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Mohamed Nordin Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan dari orang awam berhubung kejadian kebakaran membabitkan sebuah rumah di kawasan tersebut pada Selasa jam 4.08 petang.

Menurut beliau, sejurus menerima maklumat tersebut, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung bersama bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Manjung bergegas ke lokasi bagi memadam kebakaran.

"Pihak polis telah melakukan pemeriksaan ke atas rumah tersebut telah menjumpai seorang lelaki warganegara Indonesia berumur 15 tahun telah meninggal dunia.

"Hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah pada masa kejadian. Mangsa yang merupakan OKU dan mempunyai rekod rawatan sawan di Hospital Seri Manjung ini tinggal bersama ibu dan kakaknya di rumah berkenaan.  

"Ketika kejadian mangsa berada seorang diri di dalam rumah tersebut. Mangsa telah dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian. 

"Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya kepada pemberita malam tadi.



Beliau menambah, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut boleh berhubung dengan Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-6886222 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Terdahulu, media melaporkan seorang remaja lelaki yang juga orang kurang upaya (OKU) rentung dalam insiden kebakaran rumah di Kampung Dato' Sri Kamaruddin, di sini pada petang Selasa.

Mangsa yang berusia 15 tahun itu ditemukan rentung di atas katil sebuah bilik dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).